KEUTAMAAN ZIKIR DISISI ALLAH

Barang siapa yang mahukan ketenangan didalam hatinya, serta lunak kepada amalan akhirat maka hendaklah dia banyak berzikir kepada Allah. Disini ditampilkan beberapa dalil-dalilnya. :
Berzikirlah Dalam Keadaan Berdiri, Duduk Dan Berbaring
Alhamdulillah, adapun berzikir itu ialah salah satu rangkaian amalan utama yang tidak boleh diabaikan oleh setiap orang Islam kerana ianya adalah bagi kesempumaan iman dan Islam.
Zikir menjadi santapan hati dan jiwa, khasnya penawar ketika resah gelisah.
Bukankah Allah telah berfirman:

Terjemahannya : “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” [Surah Ar-Ra ‘d: 28]


Kelebihan berzikir sebagaimana disebut-sebut oleh Allah dalam AI-Qur’an dan disunatkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi was allam, di antaranya:
Allah menyeru kita supaya berzikir (mengingatNya) dengan sebanyak-banyaknya,
firman Allah:

Terjemahannya : “Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). [Surah Al-Baqarah: 152]


Terjemahannya : “Wahai orang-orang yang beriman. (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu KepadaNya pada waktu pagi dan petang.”[Surah Al-‘Ahzab: 41-42]
Berzikirlah dalam semua keadaan dan tempat.
Firman Allah:

Terjemahannya : “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. [Surah An-Nisa’: 103]
Orang-orang yang berakal sentiasa berzikir kepada Allah.
Firman Allah:


Terjemahannya : “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” [Surah Ali ‘Imran: 190-191]
Berzikir ialah ubat mententeramkan hati, melapangkan kesempitan dan duka nestapa, firman Allah:

Terjemahannya : "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” [Surah Ar-Ra ‘d: 28]
Adapun kesan zikir, antaranya, mententeramkan jiwa, dan merasa redha terhadap Allah.
FirmanNya:

Terjemahannya : “Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan). [Surah Thaha: 130]

Bagi orang-orang yang berzikir, mereka akan beroleh ganjaran serta keampunan Allah.

Terjemahannya : “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” [surah Al-Ahzab: 35]
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:  “Tiada pernah anak Adam mengamalkan suatu amalan yang lebih selamat baginya daripada seksa Allah selain berzikir kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Maksudnya: Aku menurut sangkaan hambaKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatKu. Apabila dia mengingati Aku dalam dirinya maka Aku akan mengingatnya dalam diriKu. Dan apabila dia mengingat Aku dalam keramaian maka aku akan mengingatinya dalam keramaian pula yang lebih baik daripada itu. Apabila dia mendekati aku sejengkal maka Aku akan mendekatinya sehasta, apabila dia mendekati Aku sehasta maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia dating kepadaKu dengan berjalan maka aku akan sambut dia dengan berlari-lari kecil.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Zikir dan istiqfar adalah antara sebab yang membawa kepada kebahagiaan dan murah rezeki.
Sabda Rasulullah Shallahu alaihi wassalam : Maksudnya: “ barangsiapa sentiasa memohon keampunan Allah jadikan daripada setiap kesusahan (baginya) kelapangan dan daripada setiap kesempitan (baginya) jalan keluar dan Allah beri rezeki kepadanya daripada jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Zikir bererti menyebut Allah dengan bertahlil (Laa ilaha illah) bertasbih (Subhanallah) , bertahmid (Alhamdulillah) menyebut hauqalah (Lahaulawala khu watailabillah) menyebut hasbalah (Hasbiyallah) dan membaca basmalah (ZBismillah hirrohma nirrohim) membaca Al-Quran dan membaca doa-doa yang ma’tsur iaitu membaca doa-doa yang warid yang diterima daripada Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam.
Bahkan zikir itu lebih luas, tiada terbatas kepada apa yang disebutkan di atas. Mengerjakan segala rupa ketaatan kepada Allah juga dipandang zikir. Majlis-majlis yang membincangkan atau memperkatakan soal-soal agama , soal halal-haram dan menceritakan kebesaran dan kehebatan Allah juga dianggap majlis zikir. Pendeknya sesuatu amalan yang matlamatnya mengingati Allah, adalah zikir.
Oleh kerana betapa pentingnya zikir dlam kehidupan, maka ulama-ulama besar seperti Al-Imam Nawawi telah mengumpul zikir-zikir yang warid daripada rasulullah shallallahu alaihi wassalam dengan menyebutkan penggunaannya, berdasarkan tempat, masa dan lain-lain sebagaimana yangtelah ditunjuk oleh Rasulullah Shallahu alaihi wassalam. Dalam kitab Al-Adzkar Al-Imam An-NAwawi telah menyusun fasal-fasal yang mengandungi zikir-zikir bagi keadaan-keadaan tertentu dalam semua urusan kehidupan.
Begitu juga Al-Imam Al-Allamah As-Sayyid Asy-Syarif Al-Muhaddith Muhammad bin Ali Khirir Al-Alawi Al-Husaini At-Tarimi dalam Al-Wasa’il Ash Shafi’iyyah telah menyusun dan mengumpul beberapa bayak zikir dan doa yang warid daripada  Rasulullah Shallalahu alaihi wassalam dengan susunan dan ambilan yang sangat cantik. Sila lihat dan rujuk kedua-dua kitab tersebut.
Ini semua menjelaskan bahawa segala ruang waktu itu adalah perlu diisi dengan zikir. Tanpa zikir, kerugian sangatlah besar, sebagaimana perumpamaan Nabi Shallallahu alaihi wassalam menyifatkan suatu kaum yang berkumpul kemudian bersurai dengan tidak berzikir, adalah umpama bangkai keldai dan keadaan mereka itu menyedihkan.
Sabda baginda daripada sahabat Abu Hurairah Radhiallahu anhu : Maksudnya: “tidak ada suatu kaum yang berdiri meninggalkan suatu majlis padahal mereka itu belum sempat berzikir kepada Allah ta’ala di majlis itu melainkan mereka berdiri (meninggalkannya) adalah (mereka) seperti bangkai keldai dan bagi mereka itu kekecewaan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan lain-lainnya dengan Isnad shahih)

Maksudnya : ‘Barangsiapa yang duduk pada suatu tempat, sedang dia tiada berzikir kepada Allah pada tempat itu, adalah beginya kurang (kurang berkat) daripada Allah. Barangsiapa yang berbaring pada suatu tempat pembaringan, sedang dia tiada berzikir kepada Allah adanya, adalah baginya kurang (berkat) daripada Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Maksudnya: “tiada duduk suatu kaum pada suatu majlis, sedang mereka tidak berzikir kepada Allah dan tidak berselawat kepada Nabi, melainkan ke atas mereka kurang (berkat). Jika Allah menghendaki , mereka disiksa dan jika Dia menghendaki , mereka diberi pengampunan.” (Hadis riwayat Ath-tirmidzi , hadis Hassan)

Demikianlah Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam menjelaskan kedudukan orang-orang yang tidak berzikir kepada Allah.

Hadis-hadis di atas menujukkan bahawa berzikir dengan cara berkumpulan mempunyai kelebihan. Hal ini telah ditegaskan lagi oleh Baginda Rasulullah alihi wassalam.
Maskudnya: “Al-Imam malik meriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Abu Sa’id: “ tiada duduk suatu kaum berzikir kepada Allah Subhanahu wa taala melainkan para malaikat mengelilingi mereka, turun ketenangan ke atas mereka dan Allah mengingati mereka, siapa yang berada di sisiNya.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Sabda baginda lagi :
Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu alaihi wassalam . “sesungguhnya aku duduk bersama-sama dengan suatu kaum yang berzikir kepada Allah selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari, adalah lebih aku sukai dari terbit matahari.”(Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Berzikir itu tidak memilih waktu, berzikirlah terus, sama ada waktu berdiri, duduk dan baring, kerana
Allah berfirman :

Terjemahannya : “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” [surah Ali Imran: 191]

Kalau kita memerhati dari sudut lain bahawa sembahyang itu adalah semulia-mulia ibadat kepada Allah, namun ada beberapa waktu atau saat tertentu yang dilarang melakukan sembahyang berbanding dengan berzikir, yang tidak ada batas waktu atau saat menjadi halangan.
Berzikir di waktu malam lebih afdhal daripada berzikir di waktu siang kerana Allah telah mendahulukan perkataan malam daripada siang.

Terjemahannya : “mereka bertasbih (beribadat) malam dan siang tidak berhenti-henti” [surah Al-Anbiya’ : 20]
Ibnu Hajar AI-Haitami ketika ditanya mana yang lebih afdhal; siang atau malam, AI-’Allamah itu menjawab:
“Malam lebih afdhal (utama) kerana malam waktu istirehat. Istirehat itu sifat daripada syurga, sementara siang pula waktu memenatkan, ianya sifat daripada neraka. Keutamaan malam kerana adanya Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Kelebihan yang demikian itu tidak didapati di waktu siang. Keutamaan lain lagi ialah kerana telah diturunkan satu surah AI-Qur’an yang dinamakan “Surah AI-Lail” (Surah Malam).
Kelebihan yang lain lagi ialah sebutan ‘malam’ didahulukan daripada sebutan ‘siang’ pada kebanyakan ayat-ayat AI-Qur’an. Malam-malam dalam sebulan mendahului siang-siangnya (dalam sebulan). Dalam tiap-tiap malam ada suatu saat dimakbulkan doa, bahkan dalam tiap-tiap saat di waktu malam (doa dimakbulkan). Tidak ada sesuatu daripada waktu-waktu malam yang dimakruhkan sembahyang.
Di waktu malam diadakan sembahyang Tahajjud, istighfar, kedua-duanya lebih utama daripada sembahyang dan istighfar di waktu siang. Isra’ (Nabi Muhamamd Shallallahu ‘alaihi wasallam) juga berlaku pada waktu malam. (AI-Fatawa AI-Haditsiyyah 185-186)
Kita bawakan perkara kelebihan malam dan hubungannya dengan berzikir itu ialah untuk menjelaskan bahawa berzikir pada waktu malam itu adalah sangat wajar dan baik, sama ada secara bersendiri mahupun berkumpulan.

0 comments:

Post a Comment